Ahad, 24 November 2013

DARI PENANG KE CHANGKAT JERING KE TAIPING

Assalamu'alaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia. Sebelum tu, aku nak pohon 1001 kemaafan kerana hampir enam bulan menyepikan diri, menghilangkan diri hampir 6 bulan lamanya. Bukan apa, sibuk dengan tugasan seharian sehinggakan tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada blog ni. Al-Maklumla, duk berpindah randah je kan....
         
         Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia serta inayah dan izinNya dapatlah aku diberi kesihatan yang baik lagi sempurna, diberi kekuatan fizikal dan mental untuk meneruskan perjuangan dan hidup saya sebagai khalifah di muka bumi Allah SWT ini. 
         
        Dari Pulau Mutiara ke Bandar Warisan. Itulah tajuk yang akan dicoretkan.

     Jika anda semua masing-2 mengikuti perjalanan blogger, aku pernah menjadi warga Pulau Pinang pada hujung tahun 2012 hingga Mac 2013. Di sana, aku diberi tanggungjawab sebagai warden asrama di salah sebuah institusi pengajian rendah. Alhamdulillah, pengalaman serta pahit getir nostalgia serba sedikit, dapat juga aku coretkan di sana.

             Kemudian, aku dipindahkan ke sekolah di sekitar Changkat Jering di Daerah Larut, Matang dan Selama. Yahoo ! Balik semula aku ke Taiping, Bandar Warisan penuh sejarah dan memori terindah. Di sini aku lakarkan beberapa tanggungjawab sebagai pendidik sementara secara ikhlas, dedikasi dan amat mencabar.

     Masa terus berlalu, hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan . Semasa perasaan girang kerana dapat berkhidmat di Changkat Jering, surat permohonan aku ke Sekolah Rendah Agama yang aku memohon dahulu, telah diterima. Pelbagai perasaan datang bercampur-baur. Gembira pun ada, sedih pun ada, takut pun ada, malah terkejut pun ada. Namun apakan daya, Allah Maha Seagalanya. 

    Masa yang dinanti-nantikan pun tiba. Aku pun ke sekolah berkenaan. Di sana, aku telah dipilih sebagai peneraju ke-4 sekolah berkenaan, iaitu menjawat jawatan sebagai PK Kokurikulum. Alhamdulillah, segala penat lelah dan keringat aku diperhati dan dinilai secara professional oleh pentadbir. Aku rasa amat-amat gembira dengan penghargaan seumpama ini. Manakan tidak, dalam usia semuda ini, telah dapat aku buktikan untuk jadi pengemudi ke-4 sekolah berkenaan.

      Itulah sahaja pengalaman yang dapat diceritakan kali ini. Insya-Allah jika ada kelapangan dan masa yang bersesuaian, aku akan lakarkan peristiwa-2 penting di sini. Sekian, Wassalam.

Antara Gambar Kenangan Di Pulau Pinang






Antara Kenangan di Changkat Jering







Antara Gambar Perkhidmatan Sekarang







Khamis, 25 April 2013

KENIKMATAN DAN UJIAN DARIMU ILLAHI

Assalamu'alaikum WBT dan Salam 1Malaysia. Bingkisan barakah buat kesemua pembaca, kesyukuran dan lafaz sembah takzim saya panjatkan kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, hanya Allah SWT yang Esa dimuliakan. 

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia serta inayah dan izinNya dapatlah saya diberi kesihatan yang baik lagi sempurna, diberi kekuatan fizikal dan mental untuk meneruskan perjuangan dan hidup saya sebagai khalifah di muka bumi Allah SWT ini. 

Perjuangan mesti diselesaikan hingga tamat, kehidupan mesti diteruskan hingga riwayat hidup sebelum dikembalikan kepada Allah SWT . Kita hanyalah hamba. Hamba yang tidak tahu perjalanan hidup akan datang, hamba yang lemah, hina lagi kerdil dihadapan Allah SWT. 

Seiring dengan itu, Allah SWT dengan bersaksikan junjungan besar kita, Rasulullah SAW telah menyatakan dengan mutlak bahawa Dia akan menguji seseorang hambaNya sama ada dengan kekayaan, kemiskinan, kesedihan, kematian, dan sebagainya. 

Tidak lari dengan ujian itu, saya telah diberi 'sedikit' kesenangan pada hujung tahun 2012 yang lalu. Reaksi muka bondaku yang menatap surat panggilan ke Pulau Pinang itu cukup menggembirakan aku sebagai seorang anak yang taat dan patuh kepada perintahnya. Bondaku dengan bersemangat membelikanku pakaian-pakaian baharu, sejajar dengan jawatanku, sebagai seorang warden asrama.

Disana , aku dapat membiasakan diri aku selama 2 minggu lamanya. Mana tidaknya, aku berasa kekok apabila berada di tempat orang apatah lagi berjauhan dengan keluarga tercinta. Anak-anak muridku rapat denganku, sahabat-handai juga semakin mahu mendekati aku. Alhamdulillah, berkat dan kesucian daripada doaku serta doa daripada bondaku membuatkan aku terus dikecapi kebahagiaan yang hanya bersifat sementara tanpa diduga. 

Masa terus berlalu. 3 bulan lamanya aku disana, tiba-tiba aku dikejutkan dengan berita bahawa aku ditamatkan untuk berkhidmat disana atas alasan yang langsung tidak munasabah. Mana mungkin aku sebagai manusia yang mempunyai hak-hak keistimewaan tertentu membiarkan perkara ini berlaku ! Maka, aku membuat keputusan untuk menentang dengan merayu agar mewartakan hal ini ke pihak yang lebih tinggi. Keputusan aku muktamad.

Hari yang kutunggu-tunggu tiba. Reaksi muka aku bagaikan orang yang tidak tentu arah. Aku dengan yakinnya masuk ke dalam gelanggang perbicaraan tanpa setitik peluh dibadanku, tiada sifat gentar apatah lagi menyesal dengan keputusanku. 

Dalam perbicaraan, aku didapati melanggar sebahagian undang-undang yang mereka tidak pernah usulkan kepadaku. Kadang-kadang aku hairan, aku pelik. Kenapa perlu marah jika undang-undang tersebut memang tiada dalam peraturan ? Apakah aku juga yang bersalah ? Maka, secara profesional, aku enggan melawan. Keputusan aku, memindahkan semula aku ke tempat asalku, iaitu di Taiping, Bandar Warisan yang penuh bersejarah. Majlis permuafakatan terbentuk. Keputusanku diterima. Alhamdulillah. 

Maka, tanggal 22 April 2013 secara rasminya aku adalah sebagai seorang pelajar dan tenaga pengajar kembali. Kursus Induksi yang aku hadiri itu adalah kursus untuk kali terakhir sepanjang aku berkhidmat disana. Sementara itu, aku kini mengajar tuisyen semula sementara menunggu surat panggilan daripada jabatan / agensi yang akan memanggilku. 

Realitinya, Allah SWT memberikan aku kenikmatan sementara itu bukanlah untuk kemewahan, tetapi untuk menguji sama ada aku kuat mahupun tidak menempuh ujian daripada Allah SWT. Hakikatnya, Allah SWT memberikan aku peringatan bahawa kenikmatan, kesenangan dan kebahagiaan itu kadang-kadang bakal mengakibatkan padah yang amat dahsyat. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim ! Engkaulah Tuhan yang Esa yang layak disembah, berikanlah aku peluang untuk berjuang ke jalanMu ya Allah.

Amin Ya Rabbal 'Alamin.... Sekian, Wassalam.