Rabu, 4 Januari 2012

TERINGATKAN ZAMAN PERSEKOLAHAN




Assalamu'alaikum WBT , Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia. Hari ini, adalah hari ketiga dimana 2012 telahpun dikecapi 3 hari terdahulu. Jika 3 tahun dan kebawah dahulu, masih aku ingat lagi, ketika aku dibangku sekolah, masa inilah masa yang amat aku nanti-nantikan. Masakan tidak, esok telahpun bermula sesi persekolahan di tahun baru. Persiapan rapi seperti alatulis, kasut, beg dan pakaian sekolah baru telah disiapkan seawal yang mungkin.

Persiapan demi persiapan aku buat demi menjaga nama baik diri, keluarga dan sahabat-handai. Di sekolah rendah dahulu, aku seringkali membuat persiapan persekolahan seminggu sebelum sekolah bermula. Arwah ayah aku sememangnya mengajar aku erti disiplin dan penampilan yang kemas dan teratur. Tak lupa dengan ibuku, tiap-tiap hari beliau membasuh serta memastikan aku dalam keadaan kemas dan berpakaian serba segak sebelum ke sekolah. Tahun demi tahun perkara ini berlarutan, hingga berakhirnya aku di sekolah rendah, SK King Edward VII-(2) Taiping di tahun 2004.

Ia tidak berhenti disitu bilamana aku masuk ke sekolah menengah di tahun 2005, menduduki carta terbawah iaitu di tingkatan satu. Nama SMK King Edward VII sememangnya menjadi kegerunan setiap warga yang berada di kawasan Taiping ini kerana namanya yang gah telah berjaya membuatkan hampir keseluruhan pelajarnya menjadi cemerlang dalam akademik, sahsiah dan kokurikulum. Aku bangga apabila berada di sekolah ini ! Aku juga bangga kerana terpilih serta berpeluang menjadi penuntut disini.

Teringat ketika mula-2 menjejakkan kaki di sekolah menengah pada hari pertama dan tahun pertama, program orientasi pun bermula. Ia dikendalikan hampir kesemua guru sesi petang yang mengajar subjek dan dikelolakan sepenuhnya oleh guru kaunseling serta dibantu oleh sebahagian senior ketika itu juga dipantau oleh guru disiplin dan guru-guru kanan yang lain. Perasaan gundah-gulana apabila mengenali satu persatu tatacara dan rekabentuk serta undang-undang yang terdapat dalam sekolah aku ini. 

Tahun berganti tahun. 2006 pula menyusul. Aku kini berada di Tingkatan Dua. Alhamdulillah, di akhir sesi persekolahan aku pada tahun 2005, aku telah pun terpilih menjdi salah seorang pemimpin kecil iaitu Pengawas Sekolah. Perasaan bangga aku mula menyelinap masuk kedalam diri ini. Rasa ego dan tinggi diri mula dirasai. Dengan segaknya, aku dipakaikan dengan uniform pengawas pada tahun ini. Ya, aku seorang pengawas tahun ini. Bajuku putih, seluarku putih , disepadankan dengan tali pinggang hitam dan kasut kulit berkilat . Waw !! Memang indah di petang itu aku melaram. Hari pertama ditahun 2006 ini jualah aku menjalankan tugasan yang pertama iaitu membaca doa di perhimpunan rasmi sesi petang.

2006 terus membawa aku ke era kegemilangan aku yang terbilang. Dari aku memimpin bacaan doa, aku terus menjadi pembaca ikrar dan seterusnya aku dinaikkan lagi menjadi Pengerusi Majlis (MC). Aku mula mencipta nama diatas pentas yang serba kekurangan. Saat ini juga, aku mula berjinak-jinak dengan Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sesi Petang . Pada mulanya, aku hanya ahli yang tiada bayangan untuk menjadi lebih daripada sekarang, tetapi dengan berpaksikan realiti dan kesungguhan dinamik, aku diberi lagi sokongan untuk menerajui PRS dengan menjawat jawatan AJK Disiplin dan dalam Perlembagaan Pengawas aku dilantik menjadi AJK Kaunseling , Kemanusiaan dan Kebajikan. Pentadbiran aku selama setahun ini ternyata membuahkan hasil yang mampan dan berjaya mengukir senyuman di tiap-tiap bibir orang sekeliling.

Tahun 2007 adalah mimpi ngeri buat aku kerana di tahun inilah aku menjadi 'junior' semula di sesi pagi. Tak lupa juga ia menjadi ketakutan pada aku kerana aku akan menduduki PMR pada tahun ini. Bersekedudukan dengan itu, terlalu banyak rezeki yang menimpa aku di tahun ini. Antara yang dapat aku senaraikan adalah, Pertandingan Sajak Peringkat Zon (Menang), Pertandingan Pantun Peringkat Negeri (Menang) , Pertandingan Debat Antara Kelas (Menang), Choral-Speaking Peringkat Negeri (Tempat Ke-2) , Pertandingan Bahas Antara Kelas ( Tempat Ke-2). Aku juga dikekalkan menjadi MC pada perhimpunan rasmi di sesi pagi ketika itu.

Pasca-2007, era 2008 pula menyusul. Alhamdulillah, dengan keberkatan dari Illahi, di tahun ini jugalah aku mendapat pelbagai acara untuk aku mewakili sekolah dan negeri . Antaranya, Pertandingan Orienteering Badan Beruniform Peringkat Kebangsaan ( Tempat Ke-2 ) , Pertandingan Bahas dan Lawan Pantun ( Tempat ke-3) , Pertandingan Membuat Power-Point Peringkat Daerah (Tempat Ke-3), Pertandingan Nasyid (Tempat Ke-3), Perhimpunan PRS dan Pengawas Kebangsaan, Kem Integrasi Peringkat Negeri dan Kebangsaan, dan banyak lagi yang tak dapat aku sebutkan disini. Alhamdulillah, sesungguhnya aku ni lemah dalam acara di padang, tapi mantap di pentas gelanggang. Dalam Pentadbiran Pengawas, aku menjawat jawatan sebagai Exco Penerangan yang mewakili hak dan suara pengawas sesi petang untuk diberikan bantuan serta bimbingan. Dalam PRS pula aku bergerak aktif mencari pelapis baru untuk menggantikan senior yang bakal meninggalkan sekolah kelak, sehingga aku dilantik menjadi Naib Pengerusi.

Tahun terakahir pula tiba. Menyinsingnya fajar 2009, aku kini sudahpun bergelar senior dan sedang menduduki di Tingkatan Lima. Aku berasa amat cepat dan ligatnya masa bergerak. Tanpa disedari, aku kini disanjung tinggi serta diberi perhatian dalam acara urusan pentadbiran sehingga aku diberi mandat menjadi Pengerusi PRS dan aku tukar gantikan dengan Presiden PRS setelah menjawat jawatan itu. Dalam lokaliti pengawas, aku menjadi Naib Ketua Pengawas dan menjadi suara yang paling lantang untuk mengemukakan pelbagai reaksi orang bawahan , lebih-2 lagi junior yang sedang dalam ketakutan degan ugutan-2 keras dari senior yang bergelar Exco yang lain.

Di tahun 2009, aku merasakan ada yang tidak kena dengan landskap dan corak pemerintahan Kabinet Pengawas sehingga menjejaskan kedudukan kerusi Ketua Pengawas sendiri. Aku dengan rela hati, membuka ruang kepada muka baru untuk menerajui serta memerintah kabinet pengawas supaya mengisi kekosongan yang telah aku kosongkanj itu. Ya, aku tarik diri dalam jawatan itu. Aku hanya menjadi Exco Pendidikan yang biasa. Setelah itu, aku mula  berurusan aktif dengan PRS dengan hasrat ingin memartabatkan PRS ini pada peringkat tertinggi. Sehingga itu, pelbagai program baru yang aku ilhamkan seperti Program Adik Sehati Abang Sejiwa (ASAS) , Perkhemahan Titian Silaturahim Senior-Junior , Pelancaran Kad Matriks, Penggubalan Undang-Undang, Pelaksanaan Tatakerja, Kem Motivasi, Program Kecemerlangan , Unjuran Integriri PRS dan Sepetang Bersama PRS. Alhamdulillah, kesemua ini mendapat sambutan yang amat-amat memberangsangkan dan ideal dimata kesemua junior aku. Dek sebab transformasi inilah, aku sejak mula-mula mendapat jawatan Presiden PRS, aku mengilhamkan slogan, 'Merintis Pembaharuan, Misi Kami'. dengan slogan itu, aku berjaya dan kesannya hingga kini aku kerap-kali diundang untuk mengisi ruang berhadapan dengan junior-2 baru.

Zaman itu telahpun berlalu. 2012 adalah tahun yang dialami kini. Jika maya boleh diputar semula, ingin aku kembali semula ke tahun dan zaman yang berlalu itu, kerana zaman itulah yang membuatkan aku berdiri di kaki sendiri kini. 3 tahun aku telah meninggalkan sekolah, pelbagai perkara yang menusuk kalbu jika diamati dan diingati semula. Masya-Allah, kebesaran dari Illahi, dapat juga aku menjangkau usia 20. Alhamdulillah. Segala-gala kenangan yang dialami sewaktu aku di sekolah itu, adalah memori dan kenangan amat indah buat aku selama-lamanya. Amin..... Wassalam.,, Selamat Bersekolah !!

Ahad, 1 Januari 2012

ARTIKEL PERTAMA DI TAHUN 2012



Assalamu'alaikum WBT dan Salam 1Malaysia. Alhamdullilah , syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurniaNya serta perkenan dan inayah daripadaNya kita dapat menyaksikan tertutupnya tirai tahun 2011 dan menyinsingnya fajar baru 2012. Sesungguhnya era baru telahpun bermula. Perasaan sedih bercampur gembira menyelubungi diri aku kini. Entah mengapa, agaknya hanya perasaan atau mainan jiwa yang terlalu sensitif memikirkan perkara-2 yang amat keterlaluan.

Semboyan 2012 telah berbunyi ! 2011 meninggalkan kita beserta risalah dengan lipatan-2 nostalgia bersendikan sabda yang tidak mampu dilupakan hingga malaikat maut mencabut nyawa. Sesungguhnya 2011 merupakan tahun yang amat monumental kepada aku kerana ia telah menyaksikan lengkapnya perjalanan aku sebagai hambaNya yang Esa mempersiapkan diri untuk menjangkau ke usia 20 tahun, sudah 2 dekad aku 'meneroka' alam Illahi ini. Landskap perubahan demi perubahan ini terus memaparkan dan menegakkan aku ke jalan yang lurus dan benar.

Apakah azam aku di tahun baru? Ya , azam aku di tahun baru adalah membuat perubahan jiwa dan minda. Aku sahut cabaran YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak untuk mentransformasikan dari sesuatu sudut ke suatu sudut yang lebih baik. Jika diberi peluang itu, aku akan cuba mengubah persepsi yang yang buruk menjadi baik, manakala yang baik menjadi lebih baik. Insya-Allah akan aku cuba buktikan.


Nak berubah dan inovatif, mesti ada cabaran. Bijak mengambil risiko. Daripada mengikut laluan yang telah ditinggalkan oleh orang lain, seorang inovator akan meneroka jejak baru. Mereka sentiasa berfikiran terbuka dalam menilai pendapat-pendapat yang luar biasa dan mampu untuk melihat kehadiran peluang pada sesuatu yang dilihat oleh orang lain sebagai masalah. Ini juga akan membuatkan aku lebih bersemangat untuk membuat perubahan dengan merujuk penganalisis dunia yang terdahulu mengecapi kejayaan dengan membuat perubahan yakni melakukan transformasi.

Aku teringat kata-kata pensyarah aku suatu ketika dulu, 'Penginovasi tidak mendapat formula kejayaan mereka pada percubaan pertama, tetapi mereka cekal hati dan tidak pula berhenti mencuba.'. Benar juga kata beliau. Kejayaan boleh dibuktikan melalui sifat cekal, sabar, dedikasi dan berintegriti. Pepatah Melayu ada juga menyebut, 'Jika anda mahukan keputusan yang berbeza, laksanakan dengan berbeza'. Waw ! Mendalam bukan maknanya? cukup dengan maksud tersirat dan tersurat. Ramai yang telah mendapat nama disebabkan oleh pepatah ini, namun apa yang penting adalah pepatah itu sememangnya adalah benar. Ianya boleh digunapakai dalam kehidupan kita di tempat kerja, dalam hubungan professional dan peribadi, dan dalam semua aspek kehidupan kita.

Reaksi dan respons dari sahabat handai terus menguatkan aku lagi untuk terus melakukan perubahan yang drastik. Teman - teman terdekat juga memberi lampu hijau dan menghormati segala keputusan aku. Adakah aku hanya bermimpi? Adakah ini akan menjadi kenyataan, bukan hanya ilusi atau khayalan semata-mata? Insya-Allah akan aku buat dengan memastikan ianya sempurna. Antara lain, perbezaan yang sihat serta membina tidak akan lagi menjadi punca pertelingkahan yang tidak berkesudahan. Sekelian kalinya,  tidak ada individu yang akan dihukum hanya kerana ideologi berbeza. 

Sesungguhnya, sokongan besar keluarga, sahabat handai dan saudara-mara amat penting untuk memastikan perjalanan aku selepas ini akan menemui kejayaan yang diimpikan menuju ke jalan lurus sebagai oasis harapan dan kestabilan dalam lautan dunia yang tidak menentu. Aku yakin dengan perjuangan fisabillillah segandar ini bukannya dibuat-buat atau sebuah ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang keikhlasan dan kebobrokan syaksiah serta kemunafikan intelektual seperti sesetengah pihak. Jihad ini menuruti warisan mulia zaman berzaman meniti generasi. Perubahan ini bukan perubahan sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun. Ia adalah perubahan berdekad lamanya. Kepada Allah aku berserah dan kepadaNya jualah aku memohon petunjuk. Wassalam.

SELAMAT TAHUN BARU MASIHI 2012 !


Assalamu'alaikum dan Salam Muhibah kepada kesemua warga Malaysia, Brunei Darusssalam, Singapura Indonesia serta rakyat di rantau asia hatta dunia sekalipun. Tujuan saya menulis blog kali ini bukanlah untuk menceritakan kisah yang terpalit dalam rimbunan perkara yang terjadi sejak akhir-2 ini, tapi hanya untuk mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU MASIHI 2012 kepada keseluruh warga dunia tentang menjelmanya tahun baru ini. Berakhir dari hari ini, maka genaplah tahun 2011 ''pergi'' dengan meninggalkan 1001 kenangan dan nostalgia sama ada yang manis ataupun yang pahit.

Dominasi ini terus memacu kearah kestabilan dalam negara dan terus melangkah ke era baru dengan segaknya. 2012 akan tiba. Selamat datang 2012 ! Inilah dia, setahun demi setahun, umur makin bertambah, jangka hayat makin berkurang. Inilah dia kehidupan realiti. Pasca-2011 meninggalkan peristiwa suka dan duka pada aku sendiri. Hadirnya 2012 ini, maka tidak lagi aku ketahui apakah pula perancangan dan perjalanan hidup aku yang akan datang. Adakah aku masih mempunyai umur yang panjang?? Adakah aku masih mempunyai peluang untuk terus meneroka dan mengawal-selia bumi ciptaan Allah SWT ini? Adakah aku masih diberi bonus jangka hayat untuk melakukan ''transformasi'' jiwa supaya mendekatkan diri kepadaNya yang satu ???

Keputusannya, hanya Allah SWT yang tahu. Inilah dia perkara yang sepatutnya difikirkan oleh setiap manusia saban hari. Umur. Faktor usia bukanlah sesuatu yang menghalang untuk membuat perkara yang terpenting dalam kehidupan seharian. tapi jangan hanya memikirkan tentang duniawi sahaja.Perlu juga sesekali merenung ke langit sambil memikirkan tentang jangka hayat kita yang semakin lama semakin pendek. Kadang-2 bukan apa, terasa bila angka bertambah satu untuk setahun ke setahun, terdetik dihati, bilakah aku akan berubah? adakah aku perlu begini sehingga ajal menjemput aku? ....................


Biarlah segala-galanya yang berlaku antara Allah SWT sahaja yang tahu dan mengerti. Aku adalah insan biasa, insan yang lemah dan kerdil, kecil dan hina dimataNya. Dialah pencipta aku, Dialah yang memberikan aku rezeki, Dialah sahaja tempat aku bergantung dan meminta pertolongan. Biarlah Dia yang menerajui kehidupan aku tak kira sama ada baik mahupun tidak. KepadaNya aku berserah dan kepadaNya jualah aku pohon junjungan kasih. sesungguhnya aku mahu berubah dan semoga Allah SWT membuka hatiku dan memberi hidayah serta cahaya Nur pada aku. Waassalam. Salam Tahun Baru.