Ahad, 1 Januari 2012

ARTIKEL PERTAMA DI TAHUN 2012



Assalamu'alaikum WBT dan Salam 1Malaysia. Alhamdullilah , syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurniaNya serta perkenan dan inayah daripadaNya kita dapat menyaksikan tertutupnya tirai tahun 2011 dan menyinsingnya fajar baru 2012. Sesungguhnya era baru telahpun bermula. Perasaan sedih bercampur gembira menyelubungi diri aku kini. Entah mengapa, agaknya hanya perasaan atau mainan jiwa yang terlalu sensitif memikirkan perkara-2 yang amat keterlaluan.

Semboyan 2012 telah berbunyi ! 2011 meninggalkan kita beserta risalah dengan lipatan-2 nostalgia bersendikan sabda yang tidak mampu dilupakan hingga malaikat maut mencabut nyawa. Sesungguhnya 2011 merupakan tahun yang amat monumental kepada aku kerana ia telah menyaksikan lengkapnya perjalanan aku sebagai hambaNya yang Esa mempersiapkan diri untuk menjangkau ke usia 20 tahun, sudah 2 dekad aku 'meneroka' alam Illahi ini. Landskap perubahan demi perubahan ini terus memaparkan dan menegakkan aku ke jalan yang lurus dan benar.

Apakah azam aku di tahun baru? Ya , azam aku di tahun baru adalah membuat perubahan jiwa dan minda. Aku sahut cabaran YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak untuk mentransformasikan dari sesuatu sudut ke suatu sudut yang lebih baik. Jika diberi peluang itu, aku akan cuba mengubah persepsi yang yang buruk menjadi baik, manakala yang baik menjadi lebih baik. Insya-Allah akan aku cuba buktikan.


Nak berubah dan inovatif, mesti ada cabaran. Bijak mengambil risiko. Daripada mengikut laluan yang telah ditinggalkan oleh orang lain, seorang inovator akan meneroka jejak baru. Mereka sentiasa berfikiran terbuka dalam menilai pendapat-pendapat yang luar biasa dan mampu untuk melihat kehadiran peluang pada sesuatu yang dilihat oleh orang lain sebagai masalah. Ini juga akan membuatkan aku lebih bersemangat untuk membuat perubahan dengan merujuk penganalisis dunia yang terdahulu mengecapi kejayaan dengan membuat perubahan yakni melakukan transformasi.

Aku teringat kata-kata pensyarah aku suatu ketika dulu, 'Penginovasi tidak mendapat formula kejayaan mereka pada percubaan pertama, tetapi mereka cekal hati dan tidak pula berhenti mencuba.'. Benar juga kata beliau. Kejayaan boleh dibuktikan melalui sifat cekal, sabar, dedikasi dan berintegriti. Pepatah Melayu ada juga menyebut, 'Jika anda mahukan keputusan yang berbeza, laksanakan dengan berbeza'. Waw ! Mendalam bukan maknanya? cukup dengan maksud tersirat dan tersurat. Ramai yang telah mendapat nama disebabkan oleh pepatah ini, namun apa yang penting adalah pepatah itu sememangnya adalah benar. Ianya boleh digunapakai dalam kehidupan kita di tempat kerja, dalam hubungan professional dan peribadi, dan dalam semua aspek kehidupan kita.

Reaksi dan respons dari sahabat handai terus menguatkan aku lagi untuk terus melakukan perubahan yang drastik. Teman - teman terdekat juga memberi lampu hijau dan menghormati segala keputusan aku. Adakah aku hanya bermimpi? Adakah ini akan menjadi kenyataan, bukan hanya ilusi atau khayalan semata-mata? Insya-Allah akan aku buat dengan memastikan ianya sempurna. Antara lain, perbezaan yang sihat serta membina tidak akan lagi menjadi punca pertelingkahan yang tidak berkesudahan. Sekelian kalinya,  tidak ada individu yang akan dihukum hanya kerana ideologi berbeza. 

Sesungguhnya, sokongan besar keluarga, sahabat handai dan saudara-mara amat penting untuk memastikan perjalanan aku selepas ini akan menemui kejayaan yang diimpikan menuju ke jalan lurus sebagai oasis harapan dan kestabilan dalam lautan dunia yang tidak menentu. Aku yakin dengan perjuangan fisabillillah segandar ini bukannya dibuat-buat atau sebuah ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang keikhlasan dan kebobrokan syaksiah serta kemunafikan intelektual seperti sesetengah pihak. Jihad ini menuruti warisan mulia zaman berzaman meniti generasi. Perubahan ini bukan perubahan sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun. Ia adalah perubahan berdekad lamanya. Kepada Allah aku berserah dan kepadaNya jualah aku memohon petunjuk. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan