Rabu, 4 Januari 2012

TERINGATKAN ZAMAN PERSEKOLAHAN




Assalamu'alaikum WBT , Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia. Hari ini, adalah hari ketiga dimana 2012 telahpun dikecapi 3 hari terdahulu. Jika 3 tahun dan kebawah dahulu, masih aku ingat lagi, ketika aku dibangku sekolah, masa inilah masa yang amat aku nanti-nantikan. Masakan tidak, esok telahpun bermula sesi persekolahan di tahun baru. Persiapan rapi seperti alatulis, kasut, beg dan pakaian sekolah baru telah disiapkan seawal yang mungkin.

Persiapan demi persiapan aku buat demi menjaga nama baik diri, keluarga dan sahabat-handai. Di sekolah rendah dahulu, aku seringkali membuat persiapan persekolahan seminggu sebelum sekolah bermula. Arwah ayah aku sememangnya mengajar aku erti disiplin dan penampilan yang kemas dan teratur. Tak lupa dengan ibuku, tiap-tiap hari beliau membasuh serta memastikan aku dalam keadaan kemas dan berpakaian serba segak sebelum ke sekolah. Tahun demi tahun perkara ini berlarutan, hingga berakhirnya aku di sekolah rendah, SK King Edward VII-(2) Taiping di tahun 2004.

Ia tidak berhenti disitu bilamana aku masuk ke sekolah menengah di tahun 2005, menduduki carta terbawah iaitu di tingkatan satu. Nama SMK King Edward VII sememangnya menjadi kegerunan setiap warga yang berada di kawasan Taiping ini kerana namanya yang gah telah berjaya membuatkan hampir keseluruhan pelajarnya menjadi cemerlang dalam akademik, sahsiah dan kokurikulum. Aku bangga apabila berada di sekolah ini ! Aku juga bangga kerana terpilih serta berpeluang menjadi penuntut disini.

Teringat ketika mula-2 menjejakkan kaki di sekolah menengah pada hari pertama dan tahun pertama, program orientasi pun bermula. Ia dikendalikan hampir kesemua guru sesi petang yang mengajar subjek dan dikelolakan sepenuhnya oleh guru kaunseling serta dibantu oleh sebahagian senior ketika itu juga dipantau oleh guru disiplin dan guru-guru kanan yang lain. Perasaan gundah-gulana apabila mengenali satu persatu tatacara dan rekabentuk serta undang-undang yang terdapat dalam sekolah aku ini. 

Tahun berganti tahun. 2006 pula menyusul. Aku kini berada di Tingkatan Dua. Alhamdulillah, di akhir sesi persekolahan aku pada tahun 2005, aku telah pun terpilih menjdi salah seorang pemimpin kecil iaitu Pengawas Sekolah. Perasaan bangga aku mula menyelinap masuk kedalam diri ini. Rasa ego dan tinggi diri mula dirasai. Dengan segaknya, aku dipakaikan dengan uniform pengawas pada tahun ini. Ya, aku seorang pengawas tahun ini. Bajuku putih, seluarku putih , disepadankan dengan tali pinggang hitam dan kasut kulit berkilat . Waw !! Memang indah di petang itu aku melaram. Hari pertama ditahun 2006 ini jualah aku menjalankan tugasan yang pertama iaitu membaca doa di perhimpunan rasmi sesi petang.

2006 terus membawa aku ke era kegemilangan aku yang terbilang. Dari aku memimpin bacaan doa, aku terus menjadi pembaca ikrar dan seterusnya aku dinaikkan lagi menjadi Pengerusi Majlis (MC). Aku mula mencipta nama diatas pentas yang serba kekurangan. Saat ini juga, aku mula berjinak-jinak dengan Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sesi Petang . Pada mulanya, aku hanya ahli yang tiada bayangan untuk menjadi lebih daripada sekarang, tetapi dengan berpaksikan realiti dan kesungguhan dinamik, aku diberi lagi sokongan untuk menerajui PRS dengan menjawat jawatan AJK Disiplin dan dalam Perlembagaan Pengawas aku dilantik menjadi AJK Kaunseling , Kemanusiaan dan Kebajikan. Pentadbiran aku selama setahun ini ternyata membuahkan hasil yang mampan dan berjaya mengukir senyuman di tiap-tiap bibir orang sekeliling.

Tahun 2007 adalah mimpi ngeri buat aku kerana di tahun inilah aku menjadi 'junior' semula di sesi pagi. Tak lupa juga ia menjadi ketakutan pada aku kerana aku akan menduduki PMR pada tahun ini. Bersekedudukan dengan itu, terlalu banyak rezeki yang menimpa aku di tahun ini. Antara yang dapat aku senaraikan adalah, Pertandingan Sajak Peringkat Zon (Menang), Pertandingan Pantun Peringkat Negeri (Menang) , Pertandingan Debat Antara Kelas (Menang), Choral-Speaking Peringkat Negeri (Tempat Ke-2) , Pertandingan Bahas Antara Kelas ( Tempat Ke-2). Aku juga dikekalkan menjadi MC pada perhimpunan rasmi di sesi pagi ketika itu.

Pasca-2007, era 2008 pula menyusul. Alhamdulillah, dengan keberkatan dari Illahi, di tahun ini jugalah aku mendapat pelbagai acara untuk aku mewakili sekolah dan negeri . Antaranya, Pertandingan Orienteering Badan Beruniform Peringkat Kebangsaan ( Tempat Ke-2 ) , Pertandingan Bahas dan Lawan Pantun ( Tempat ke-3) , Pertandingan Membuat Power-Point Peringkat Daerah (Tempat Ke-3), Pertandingan Nasyid (Tempat Ke-3), Perhimpunan PRS dan Pengawas Kebangsaan, Kem Integrasi Peringkat Negeri dan Kebangsaan, dan banyak lagi yang tak dapat aku sebutkan disini. Alhamdulillah, sesungguhnya aku ni lemah dalam acara di padang, tapi mantap di pentas gelanggang. Dalam Pentadbiran Pengawas, aku menjawat jawatan sebagai Exco Penerangan yang mewakili hak dan suara pengawas sesi petang untuk diberikan bantuan serta bimbingan. Dalam PRS pula aku bergerak aktif mencari pelapis baru untuk menggantikan senior yang bakal meninggalkan sekolah kelak, sehingga aku dilantik menjadi Naib Pengerusi.

Tahun terakahir pula tiba. Menyinsingnya fajar 2009, aku kini sudahpun bergelar senior dan sedang menduduki di Tingkatan Lima. Aku berasa amat cepat dan ligatnya masa bergerak. Tanpa disedari, aku kini disanjung tinggi serta diberi perhatian dalam acara urusan pentadbiran sehingga aku diberi mandat menjadi Pengerusi PRS dan aku tukar gantikan dengan Presiden PRS setelah menjawat jawatan itu. Dalam lokaliti pengawas, aku menjadi Naib Ketua Pengawas dan menjadi suara yang paling lantang untuk mengemukakan pelbagai reaksi orang bawahan , lebih-2 lagi junior yang sedang dalam ketakutan degan ugutan-2 keras dari senior yang bergelar Exco yang lain.

Di tahun 2009, aku merasakan ada yang tidak kena dengan landskap dan corak pemerintahan Kabinet Pengawas sehingga menjejaskan kedudukan kerusi Ketua Pengawas sendiri. Aku dengan rela hati, membuka ruang kepada muka baru untuk menerajui serta memerintah kabinet pengawas supaya mengisi kekosongan yang telah aku kosongkanj itu. Ya, aku tarik diri dalam jawatan itu. Aku hanya menjadi Exco Pendidikan yang biasa. Setelah itu, aku mula  berurusan aktif dengan PRS dengan hasrat ingin memartabatkan PRS ini pada peringkat tertinggi. Sehingga itu, pelbagai program baru yang aku ilhamkan seperti Program Adik Sehati Abang Sejiwa (ASAS) , Perkhemahan Titian Silaturahim Senior-Junior , Pelancaran Kad Matriks, Penggubalan Undang-Undang, Pelaksanaan Tatakerja, Kem Motivasi, Program Kecemerlangan , Unjuran Integriri PRS dan Sepetang Bersama PRS. Alhamdulillah, kesemua ini mendapat sambutan yang amat-amat memberangsangkan dan ideal dimata kesemua junior aku. Dek sebab transformasi inilah, aku sejak mula-mula mendapat jawatan Presiden PRS, aku mengilhamkan slogan, 'Merintis Pembaharuan, Misi Kami'. dengan slogan itu, aku berjaya dan kesannya hingga kini aku kerap-kali diundang untuk mengisi ruang berhadapan dengan junior-2 baru.

Zaman itu telahpun berlalu. 2012 adalah tahun yang dialami kini. Jika maya boleh diputar semula, ingin aku kembali semula ke tahun dan zaman yang berlalu itu, kerana zaman itulah yang membuatkan aku berdiri di kaki sendiri kini. 3 tahun aku telah meninggalkan sekolah, pelbagai perkara yang menusuk kalbu jika diamati dan diingati semula. Masya-Allah, kebesaran dari Illahi, dapat juga aku menjangkau usia 20. Alhamdulillah. Segala-gala kenangan yang dialami sewaktu aku di sekolah itu, adalah memori dan kenangan amat indah buat aku selama-lamanya. Amin..... Wassalam.,, Selamat Bersekolah !!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan