Selasa, 23 Ogos 2011

TERKENANGKAN ARWAH ABAH MENJELANGNYA AIDILFITRI

Assalamu'alaikum WBT. Mood tiba-tiba berubah.  Terkelu seketika. Bibir membeku. Hati membisu. Perasaan terbuku. Pabila terkenangkan Aidilfitri yang bakal muncul selasa hadapan bertarikh 30 Ogos 2011 , terkenang juga reaksi dan wajah Arwah Abah, Allahyarham Hj. Baharin Bin Muslim yang telah kembali ke rahmatullah pada 21 April 2008, 3 tahun yang lalu. maknanya, di tahun 2011 ini kami bakal menyambut suasana hari raya tanpa abah di tahun yang keempat. Sayunya rasa. Hiba dan sedih pabila mengenangkan  1 per 1 kenangan bersama arwah abah.

Selalunya, sebelum Hari Raya Aidil Fitri , pelbagai persiapan yang beliau lakukan termasuk membeli-belah pakaiannya, isterinya dan juga anak-anaknya. Beliau begitu ambil berat terhadap tiap-tiap persediaan yang dirancang. Bukan apa, taknak kelam kabut katanya. Beliau juga merupakan abah yang bertanggungjawab dan berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang ayah yang baik. Beliau akan membuat persediaan rapi menjelangnya Lebaran. Contohnya, biskut raya ditempah daripada kenalan-kenalan terdekat, baju Melayu dibeli daripada gedung-gedung terkemuka, baju T-shirt biasa dibeli di pelbagai lokasi pusat membeli - belah, persediaan untuk tetamu seperti air kordial / tin / kotak / botol dan sebagainya. 

Selalunya beliau akan merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Selangor Darul Ehsan seminggu sebelum Syawwal menjelma. Memang tiap-tiap tahun kami sekeluarga beraya di sana. Kerana menyambut Hari Lebaran di sana amat meriah dan masih mengekalkan tradisi dan adat istiadat Melayu yang kekal etos. Duit raya disediakan 100% oleh beliau untuk kesemua tetamu yang hadir dalam kalangan sahabat-handaiku, adik-adikku ataupun anak-anak kenalannya yang datang beraya dirumah. Tidak kira Melayu, Cina mahupun India. Tak juga dikira umur dan tahap pemikirannya. 

Sebelum pulang ke kampung, beliau amat gemar membeli buah tangan untuk dinikmati bersama di kampung nanti. Contohnya seperti lemang, rendang, ketupat, biskut raya, buah-buahan, dan makanan yang dibeli di bazar terdekat di sana. Beliau tidak berkira dengan sesiapa pun. Itulah sifatnya yang disenangi ramai.

Setelah berada hampir 4-5 hari di kampung, selalunya kami sekeluarga terus bertolak ke Kuala Lumpur untuk menziarahi keluarga sebelah emak pula. Perkara yang sama, arwah disenangi dan disayangi oleh kesemua adik-beradik emak yang ada. Tidak kira tua atau muda, tinggal jauh atau dekat. Kerana sifat itulah, kemungkinan ramai sepupu saya juga sayang kepada arwah abah.

Pulangnya dari Kuala Lumpur, kami terus balik semula ke Perak, kediaman kami sekeluarga,. Tidak habis disitu, beliau akan mengajak kami keluar sama ada diwaktu malam untuk beraya pula di rumah sahabat-handainya yang tinggal di sekitar bandar Taiping. Tidak lupa juga dengan sahabat - handai emak yang tinggal di kawasan Bandar Warisan ini, turut diziarah sama. Beliau sanggup membawa familinya ke mana sahaja bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama kita. 

Allahyarham Baharin bin Muslim
22 September 1969 - 21 April 2008


Semoga dengan kenangan ini dapat memberikan kami sekeluarga nekad mengecapi segala ujianNya di samping tabah dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dunia ini. Hanya Allah yang Maha mengetahui segala-galanya. 

''Ya Allah , Ya Rahman, YA Rahim. Engkau berikanlah Arwah Hj Baharin Bin Muslim ini keberkatan dan tempatkanlah arwah dalam kalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya hanya kepada Engkau kami pinta belas kasihan dan sesungguhnya kepada Engkau kami berserah.. Hindarkanlah arwah dengan segala seksaan NerakaMu ya Allah ! Masukkanlah dia kedalam kenikmatan SyurgaMu ya Allah. Kabulkanlah permintaan kami ini Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi dan Maha Mengasihani.''

Tiada ulasan:

Catat Ulasan